Wednesday, November 26, 2014

'The Worldview of Islam' sebagai 'Framework Study Islam'

Terdahulu, saya telah membicarakan tentang 'worldview' atau pandangan hidup Islam menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas menerusi artikelnya yang berjudul Opening Address the Worldview of Islam an Outline. Hari ini, saya akan menulis lebih lanjut tentang persoalan yang sama (Worldview of Islam) tetapi dalam kerangka studi Islam tulisan Hamid Fahmy Zarkasyi yang dicapai melalui blog Alam Ilmi.

Namun sebelum saya berbicara dengan lebih lanjut, perlu difahami bahawa pandangan hidup Islam adalah berteraskan agama Islam. Apabila pandangan ini bersandarkan kepada Islam, beberapa perkara perlu diambil perhatian khusus iaitu kita perlu jelas bahawa:
  • Islam lahir daripada penurunan wahyu (al-Quran) kepada Nabi Muhammad SAW.
  • Islam adalah sempurna – merangkumi segala aspek kehidupan – sesuai diamalkan pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.
  • Islam merupakan agama tauhid – mengesakan Allah. Menerusi kalimah syahadah yang dilafazkan oleh seorang Muslim, menjadi kewajiban baginya untuk taat kepada segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. 

Hamid Fahmy Zarkasyi dalam artikelnya telah mengupas beberapa perkara mengenai pandangan hidup Islam yang merangkumi:
  1. Pandangan hidup Islam sebagai bangunan konsep.
  2. Pandangan hidup Islam sebagai asas epistemologi.
  3. Pandangan hidup Islam sebagai peradaban (Worldview Islam basis peradaban).
  4. Pandangan hidup Islam sebagai kerangka studi falsafah Islam.

Namun, saya akan memfokus kepada aspek yang ketiga iaitu ‘Pandangan hidup Islam sebagai satu peradaban’.

Sekiranya pandangan hidup Islam ini dibahaskan dalam konteks peradaban, maka tidak boleh tidak mengaitkannya dengan tradisi keilmuan. Berbeza dengan pandangan hidup Barat yang berteraskan kepada pandangan hidup ilmiah (scientific worldview) yang membentuk masyarakat ilmiah (scientific society), pandangan hidup Islam lahir daripada konsep-konsep fundamental yang terdapat dalam wahyu. Seperti yang telah dijelaskan secara ringkas di atas, pandangan hidup Islam adalah berteraskan agama Islam. Maka, secara tidak langsung pandangan hidup Islam ini adalah bersandarkan kepada aspek-aspek yang melingkungi agama Islam (agama wahyu; sempurna dll).

Sejarah memperlihatkan bahawa masyarakat sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan jahiliah. Mereka menyembah berhala, membunuh anak perempuan hidup-hidup, minum arak, berjudi, berpuak-puak serta bermusuhan sesama sendiri dan sebagainya. Perbuatan-perbuatan tersebut secara tidak langsung telah mempamerkan sikap dan diri manusia yang tidak bertamadun. Namun apabila wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW,  kehidupan manusia menjadi lebih terarah.  Pengabdian manusia adalah kepada Allah yang Esa. Perjalanan hidup manusia adalah berlandaskan aturan yang  telah ditetapkan oleh Allah SWT. Matlamat kehidupan juga adalah untuk menuju akhirat yang kekal abadi. Dengan lain perkataan, kedatangan Islam secara langsung dan tidak langsung telah mengubah tatacara dan pandangan manusia dalam kehidupan - Hidup bukan kerana dunia tetapi hidup di dunia adalah demi mengejar akhirat; Hidup perlulah disertai aturan dan aturan itu datangnya daripada Allah.

'Bacalah' (Iqra') - Perkataan pertama yang terdapat di dalam wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Dari situ, dapatlah diketahui bahawa ilmu dan keilmuan merupakan asas penting bagi manusia untuk menjalani kehidupan sehari-hari. Tanpa ilmu, manusia tidak akan tahu mana yang betul; mana yang salah. Tanpa ilmu; amal menjadi menjadi sia-sia. Tanpa ilmu juga, manusia tidak kenal akan Tuhan-nya. Tidak mengenali Tuhan membawa kepada ketidakpatuhan kepada arahan-Nya. Apabila  ingkar, maka jalan menuju syurga menjadi semakin sukar. Maka, di sinilah wahyu memainkan peranan. Wahyu yang menyampaikan ilmu itulah yang membawa manusia kepada hidup yang bertamadun.

Walaupun Islam telah memberi sinaran kepada kehidupan manusia, didapati bahawa masih terdapat unsur-unsur jahiliah dalam masyarakat hari ini. Lihat sahaja kejadian khalwat yang membawa kepada penzinaan, buang bayi, judi, pesta arak dan banyak lagi amalan jahiliah yang meresapi diri manusia sekarang. Hal tersebut berlaku akibat daripada tiadanya penghayatan terhadap ilmu-ilmu Islam yang telah diperolehi. Apabila pandangan hidup Islam tidak lagi berteraskan sumber wahyu yang diperkuatkan oleh agama (ad-din), maka muncullah malapetaka dalam kehidupan manusia. 

Maka, dapatlah dikatakan bahawa pandangan hidup Islam membawa kepada satu peradaban dalam kehidupan manusia. Berlandasakan wahyu Tuhan, tatacara hidup manusia akan lebih teratur dan terarah. Manusia bukan sahaja akan beroleh kebahagiaan dan keselamatan di dunia, bahkan di akhirat sama. 

No comments:

Post a Comment