Tuesday, November 4, 2014

'I Want to Touch a Dog' (Satu ulasan)

Dalam entri terdahulu, saya telah menulis secara ringkas berkenaan isu yang hangat diperkatakan pada penghujung Oktober 2014. Isu yang mendapat respons daripada pelbagai lapisan masyarakat ini dilihat telah membangkitkan 'semangat Islam' yang mungkin selama ini tidak ditonjolkan.

Dalam isu ini, wujud pertikaian tentang hukum 'memegang anjing'. Anjing dikatakan termasuk dalam kategori najis. Maka, memegang anjing (najis) adalah haram di sisi agama. Namun, terdapat pendapat lain yang menyatakan bahawa najis itu boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh (disamak/ sertu) sebelum mahu melakukan ibadah. 

Walaupun terdapat khilaf dalam pandangan 'memegang anjing' ini. Persoalan pokok yang perlu difikirkan ialah fokus kepada  kempen yang dianjurkan ini.

1. Adakah kempen ini memberi manfaat kepada orang yang menyertainya? 

Ya. Objektif kempen ini sedikit sebanyak membawa faedah kepada para peserta. Islam perlu dilihat sebagai tidak membebankan penganutnya (dll).

Boleh jadi juga, tidak. Banyak lagi program lain yang yang lebih bermanfaat wajar disertai. Program ini juga boleh mengundang fitnah kepada umat Islam (dll). 

2. Adakah 'memegang anjing' merupakan perkara utama yang perlu diberikan perhatian? Sedangkan, banyak lagi isu penting yang perlu diberi keutamaan. Sebagai contoh, kebejatan sosial yang berlaku di kalangan remaja.

Dalam hal ini, penyokong kempen 'I Want to Touch a Dog' melihat bahawa tidak salah mengadakan kempen sebegini. Penganjur dikatakan bukan hanya melaksanakan kempen 'I Want to Touch a Dog', bahkan turut mengadakan program-program lain. Maka, penganjuran kempen ini adalah tidak salah asal mana ada yang mahu menganjurkannya.

3. Apakah kesan yang diperoleh daripada kempen 'I Want to Touch a Dog' ini?

Menyentuh tentang kesan kempen, perkara pertama yang dapat dilihat ialah perpecahan di kalangan masyarakat (bagi yang menyokong atau yang menentang). Perbalahan di media sosial dilihat ketara. Lebih parah apabila Syed Azmi mendapat ugutan bunuh serta dituduh murtad. Mungkin, kempen 'I Want to Touch a Dog' ini bukanlah satu isu yang besar (jika dibandingkan dengan isu-isu besar lain) tetapi impaknya dilihat ketara kepada masyarakat.

Kedua, dari satu sisi kempen ini dikhuatiri membawa kepada sikap mengambil mudah masyarakat terhadap perkara agama. Islam sememangnya agama yang mudah. Peraturan yang ditetapkan oleh Allah adalah bersesuaian dengan kemampuan manusia. Namun, 'mudah'nya ketetapan Allah ini tidak bermakna agama Islam mudah juga untuk diperkotak-katikkan. Bagi mereka yang faham tentang anjing misalannya (dan hal-hal yang berkait dengannya), mereka tahu apa yang mereka lakukan dan perlu lakukan. Akan tetapi sebaliknya, mereka yang tidak faham atau mudah cakap jahil akan sesuatu perkara, mereka hanya terikut-ikut tanpa pengetahuan (taklid). Hal ini membawa kebahayaan kepada diri mereka.


Komen sinis Pengarah Filem, Aziz M. Osman.
Walaupun demikian, kempen 'I Want to Touch a Dog' ini turut menjentik masyarakat terhadap isu-isu agama lainnya. Sekiranya penganjur di'kejar' oleh pihak-pihak berwajib ekoran kempen yang dijalankan, apa peranan pihak berwajib dalam membanteras perkara lain yang dilihat terang-terangan mengenepikan agama atau menghina agama? Di sini, dikatakan telah berlaku double standard dalam menetapkan hukuman. 

Selain itu, kontroversi yang menghambat kempen 'I Want to Touch a Dog' dilihat telah menutup beberapa isu yang lebih penting dan harus diberi keutamaan. Sebagai contoh ialah isu integriti yang boleh memberi impak lebih besar terhadap negara. Penganjur mungkin silap percaturan mengadakan program tersebut (sedang banyak program lain yang boleh diadakan). Maka, teguran harus diberikan. Kemudian, tumpuan haruslah beralih kepada perkara-perkara pokok yang melibatkan kemaslahatan agama, masyarakat dan negara.

Akhir sekali, apa yang saya dapat katakan melalui kempen 'I Want to Touch a Dog' ialah berkenaan isu 'anjing dipakaikan serban'. Viral tentang anjing yang dipakaikan serban ini tersebar secara meluas selepas kontroversi kempen 'I Want to Touch a Dog' melanda. Walaupun gambar anjing yang dipakaikan serban tersebut dikatakan diambil di luar negara, impaknya tetap ada. Di sebalik perkara yang telah berlaku (kempen 'I Want to Touch a Dog'), kita dapat melihat seolah-olah golongan agama telah diletakkan kedudukannya di tempat yang hina. Serban acap kali menjadi perlambangan kepada golongan agamawan. Apabila anjing yang terdapat khilaf tentang hukum menyentuhnya dipakaikan serban, secara tidak langsung telah merendahkan institusi keagamaan. Orang awam sudah berani untuk memperlekeh golongan agama. Sedangkan, agamawan ini merupakan autoriti yang membawa manusia kepada Allah. Jadi, bagaimana?

'Perkara yang halal itu jelas. Perkara yang haram juga jelas. Di antara perkara yang halal dan haram, terdapat sesuatu yang dipanggil syubhah. Maka, tinggalkanlah.' Melihatkan kempen 'I Want to Touch a Dog' yang lebih mengundang pelbagai persepsi dan implikasi negatif, maka untuk masa akan datang laksanakanlah sesuatu yang lebih utama dan penting. Tidak salah memberi pendidikan tetapi dalam mendidik terdapat cara yang telah ditetapkan oleh Tuhan. 

No comments:

Post a Comment