Wednesday, December 17, 2014

Pembentangan Akhir: Liberalisme - Melihat dari Sisi Pandangan Islam


Pembentangan akhir kelas Kesusasteraan dan Falsafah Melayu, SKMM 6013 telah berlangsung pada 17 Disember 2014. Isi pembentangan adalah berkisar tentang Liberalisme dan kaitannya dengan  Pandangan Islam. Bagi tujuan  pembentangan ini, Facebook Dr. Khalif Muammar dan Blog Alam Ilmi telah dijadikan rujukan utama. Kemudian, disertakan sekali  contoh-contoh dan isu semasa yang berkaitan.



                           















 


                             



Wednesday, December 3, 2014

Liberalisme - Dr. Khalif Muammar

Dr. Khalif Muammar menerusi Facebook peribadi beliau bertarikh 26 November 2014 telah membicarakan tentang liberalisme.  Dalam tulisan tersebut, dapatlah dilihat bahawa Dr. Khalif telah meletakkan liberalisme sebagai sesuatu yang lebih mendatangkan kemudaratan berbanding kemanfaatan. Menjadikan arak sebagai perumpamaan – dalam pada minuman keras itu memberi ‘kenikmatan’ kepada penggemarnya, ia sebenarnya mengundang lebih banyak kebahayaan kepada diri sendiri, bahkan orang lain juga.

Gambar hiasan: Transgender.
Sebagai catatan, faktor-faktor yang membawa kepada penolakan liberalisme menurut Dr. Khalif Muammar:
  1. Sekularisme – memisahkan agama daripada kehidupan.
  2. Rasional murni – mendahului akal rasional dalam setiap tindakan.
  3. Pluralisme agama – semua agama adalah benar à jalan menuju Tuhan yang sama.
  4. Demokrasi liberal – mengangkat sistem politik Barat.
  5. Mempromosi nilai-nilai liberal – merangkumi cara hidup bebas.
Islam merupakan agama wahyu yang diturunkan Allah kepada umat manusia menerusi Rasul-Nya (mentauhidkan Allah). Kedatangan Islam yang sempurna menolak segala pegangan dan kepercayaan lainnya. Al-Quran dan As-Sunnah dijadikan pedoman (pengajaran) dalam menjalani kehidupan di atas bumi Tuhan.

Gambar hiasan: Pergaulan bebas di kalangan remaja.
Sewaktu konsert FMFA di Bukit Jalil.
Dunia adalah ladang semaian sebelum menuju akhirat. Maka untuk sampai ke negeri abadi itu, tidak boleh tidak untuk mengenepikan persoalan agama. Menerusi agamalah dapat membawa manusia kepada Tuhan sekaligus masuk ke dalam syurga-Nya. Hidup beragama membuatkan manusia tidak melakukan sesuatu yang dilarang-NYA. Reda Allah menjadi fokus utama. Dalam masa yang sama, Al-Quran dan As-Sunnah dipegang erat sebagai panduan. Sesungguhnya, fikiran manusia adalah terbatas. Sebagai Pencipta alam, Allah lebih tahu segala sesuatu yang tidak diketahui manusia. Keterbatasan fikiran manusia ini secara jelas membawa penolakan terhadap isu antaranya yang diperjuangkan Sister in Islam (SIS):
  • Aurat.
  • Poligami.
  • Pengkid.
  • Murtad.
  • Persamaan hak dan sebagainya.
Maka, dapatlah dikatakan bahawa kelalaian terhadap liberaslime kelak mengundang kesan negatif kepada masyarakat (khususnya hal yang berkait dengan akidah). Penolakan terhadap ketetapan Tuhan secara tidak langsung boleh membawa kepada kekufuran. Islam itu sempurna à sesuai diamalkan di mana-mana, pada bila-bila masa dan untuk apa-apa juga. Justeru untuk mengecap kebahagiaan di dunia dan akhirat, perlu kembali kepada agama yang satu yakni ISLAM.

Wednesday, November 26, 2014

'The Worldview of Islam' sebagai 'Framework Study Islam'

Terdahulu, saya telah membicarakan tentang 'worldview' atau pandangan hidup Islam menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas menerusi artikelnya yang berjudul Opening Address the Worldview of Islam an Outline. Hari ini, saya akan menulis lebih lanjut tentang persoalan yang sama (Worldview of Islam) tetapi dalam kerangka studi Islam tulisan Hamid Fahmy Zarkasyi yang dicapai melalui blog Alam Ilmi.

Namun sebelum saya berbicara dengan lebih lanjut, perlu difahami bahawa pandangan hidup Islam adalah berteraskan agama Islam. Apabila pandangan ini bersandarkan kepada Islam, beberapa perkara perlu diambil perhatian khusus iaitu kita perlu jelas bahawa:
  • Islam lahir daripada penurunan wahyu (al-Quran) kepada Nabi Muhammad SAW.
  • Islam adalah sempurna – merangkumi segala aspek kehidupan – sesuai diamalkan pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.
  • Islam merupakan agama tauhid – mengesakan Allah. Menerusi kalimah syahadah yang dilafazkan oleh seorang Muslim, menjadi kewajiban baginya untuk taat kepada segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. 

Hamid Fahmy Zarkasyi dalam artikelnya telah mengupas beberapa perkara mengenai pandangan hidup Islam yang merangkumi:
  1. Pandangan hidup Islam sebagai bangunan konsep.
  2. Pandangan hidup Islam sebagai asas epistemologi.
  3. Pandangan hidup Islam sebagai peradaban (Worldview Islam basis peradaban).
  4. Pandangan hidup Islam sebagai kerangka studi falsafah Islam.

Namun, saya akan memfokus kepada aspek yang ketiga iaitu ‘Pandangan hidup Islam sebagai satu peradaban’.

Sekiranya pandangan hidup Islam ini dibahaskan dalam konteks peradaban, maka tidak boleh tidak mengaitkannya dengan tradisi keilmuan. Berbeza dengan pandangan hidup Barat yang berteraskan kepada pandangan hidup ilmiah (scientific worldview) yang membentuk masyarakat ilmiah (scientific society), pandangan hidup Islam lahir daripada konsep-konsep fundamental yang terdapat dalam wahyu. Seperti yang telah dijelaskan secara ringkas di atas, pandangan hidup Islam adalah berteraskan agama Islam. Maka, secara tidak langsung pandangan hidup Islam ini adalah bersandarkan kepada aspek-aspek yang melingkungi agama Islam (agama wahyu; sempurna dll).

Sejarah memperlihatkan bahawa masyarakat sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan jahiliah. Mereka menyembah berhala, membunuh anak perempuan hidup-hidup, minum arak, berjudi, berpuak-puak serta bermusuhan sesama sendiri dan sebagainya. Perbuatan-perbuatan tersebut secara tidak langsung telah mempamerkan sikap dan diri manusia yang tidak bertamadun. Namun apabila wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW,  kehidupan manusia menjadi lebih terarah.  Pengabdian manusia adalah kepada Allah yang Esa. Perjalanan hidup manusia adalah berlandaskan aturan yang  telah ditetapkan oleh Allah SWT. Matlamat kehidupan juga adalah untuk menuju akhirat yang kekal abadi. Dengan lain perkataan, kedatangan Islam secara langsung dan tidak langsung telah mengubah tatacara dan pandangan manusia dalam kehidupan - Hidup bukan kerana dunia tetapi hidup di dunia adalah demi mengejar akhirat; Hidup perlulah disertai aturan dan aturan itu datangnya daripada Allah.

'Bacalah' (Iqra') - Perkataan pertama yang terdapat di dalam wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Dari situ, dapatlah diketahui bahawa ilmu dan keilmuan merupakan asas penting bagi manusia untuk menjalani kehidupan sehari-hari. Tanpa ilmu, manusia tidak akan tahu mana yang betul; mana yang salah. Tanpa ilmu; amal menjadi menjadi sia-sia. Tanpa ilmu juga, manusia tidak kenal akan Tuhan-nya. Tidak mengenali Tuhan membawa kepada ketidakpatuhan kepada arahan-Nya. Apabila  ingkar, maka jalan menuju syurga menjadi semakin sukar. Maka, di sinilah wahyu memainkan peranan. Wahyu yang menyampaikan ilmu itulah yang membawa manusia kepada hidup yang bertamadun.

Walaupun Islam telah memberi sinaran kepada kehidupan manusia, didapati bahawa masih terdapat unsur-unsur jahiliah dalam masyarakat hari ini. Lihat sahaja kejadian khalwat yang membawa kepada penzinaan, buang bayi, judi, pesta arak dan banyak lagi amalan jahiliah yang meresapi diri manusia sekarang. Hal tersebut berlaku akibat daripada tiadanya penghayatan terhadap ilmu-ilmu Islam yang telah diperolehi. Apabila pandangan hidup Islam tidak lagi berteraskan sumber wahyu yang diperkuatkan oleh agama (ad-din), maka muncullah malapetaka dalam kehidupan manusia. 

Maka, dapatlah dikatakan bahawa pandangan hidup Islam membawa kepada satu peradaban dalam kehidupan manusia. Berlandasakan wahyu Tuhan, tatacara hidup manusia akan lebih teratur dan terarah. Manusia bukan sahaja akan beroleh kebahagiaan dan keselamatan di dunia, bahkan di akhirat sama. 

Saturday, November 15, 2014

Opening Address The Worldview of Islam an Outline – Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam artikelnya menyebut bahawa ‘worldview’ atau pandangan hidup Islam bukanlah berasaskan faktor fizikal atau pancaindera dan rasional akal manusia terhadap pandangan alam. Akan tetapi, pandangan hidup Islam adalah lebih luas merangkumi aspek dunia dan akhirat. Sebagai hamba Allah, kita bukan sahaja mahu mencapai kebahagiaan di dunia, malahan kita turut mahu bahagia sampai akhirat nanti.

Menyentuh tentang dunia dan akhirat...

Dalam Islam, kehidupan di dunia hanyalah bersifat sementara. Ia menjadi tempat persinggahan manusia sebelum menuju ke alam yang kekal abadi – akhirat. Dengan kata lain, dapatlah dikatakan bahawa fokus Islam dalam kehidupan adalah bermatlamatkan kehidupan akhirat. Manusia tidak hanya mengejar kehidupan dunia tetapi menjadikannya sebagai persediaan untuk mencapai kebahagiaan di akhirat. Persediaan  berupa amal kebaikan itu dilakukan demi mendapat keredaan Allah SWT.

Akidah adalah tunjung agama Islam. Ia berteraskan keyakinan kepada Allah yang satu – Maha ESA (konsep Tauhid).
  • Allah wujud di mana-mana walaupun tidak dapat dilihat;
  • Allah berdiri sendiri (tidak bersandar akan sesuatu);
  • Allah tidak beranak dan diperanakkan;
  • Allah bersifat mutlak dan kekal abadi;
  • Allah Maha Segalanya (Maha Berkuasa, Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Mendengar dll).

Asas kepercayaan inilah yang membezakan Islam dengan kepercayaan lainnya. Selain itu, keyakinan terhadap Allah turut dapat mendekatkan manusia dengan Pencipta. Dekatnya manusia dengan Khalik membawanya mencapai kebahagiaan di negeri abadi.

Islam adalah agama yang sempurna. Kesempurnaan Islam merangkumi segala aspek dalam kehidupan. Ajaran dalam agama Islam sesuai diamalkan oleh semua orang, untuk sebarang keperluan, pada bila-bila masa serta di mana-mana sahaja. Islam bukanlah satu bentuk budaya tetapi merupakan agama Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Al-Quran. Ajaran dan pengajaran di dalam Al-Quran ini kemudiannya disampaikan kepada seluruh umat manusia bagi membolehkan mereka mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Maka, dapatlah dilihat di sini bahawa pandangan hidup Islam adalah bertunjangkan kepada kehidupan akhirat. Manusia diciptakan Allah sebagai khalifah di muka bumi bukan untuk mengejar dunia semata-mata tetapi dunia yang dikejar membolehkan mereka mencapai kebahagiaan  di akhirat kelak.

Friday, November 14, 2014

Novel-novel Melayu Mutakhir:Analisis Cerminan Nilai Budaya Bangsa – Ramli Isin

Ramli Isin dalam artikelnya meneliti sejauh mana novel mencerminkan nilai budaya bangsa khususnya bangsa Malaysia melalui citra sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik yang berhubungan dengan kenyataan, permasalahan, pandangan, sikap, kepercayaan, pemikiran dan sebagainya.

Ulang persoalan – ‘Sejauh mana sesebuah novel mencerminkan nilai budaya bangsa?’


Saya mengambil contoh novel yang membawa tema poligami iaitu:

1. Air Mata Siti Hajar - Nazihatul Hanan
2. Ayat-ayat Cinta - Habiburrahman El Shirazy
3. Ombak Rindu - Fauziah Ashari

Air Mata Siti Hajar memaparkan kisah Siti Hajar (isteri pertama) yang tidak bersedia dan tidak sanggup menerima kehadiran wanita dalam hati suaminya. Sepanjang perkahwinan dengan Ibrahim, banyak dugaan yang berjaya dilalui namun kehadiran Sarah (kekasih pertama Ibrahim) membuatkan Siti Hajar tersungkur. Akhirnya, Siti Hajar minta diceraikan.

Ayat-ayat Cinta memaparkan kisah Aisya (isteri pertama) yang sanggup menerima kehadiran Maria dalam hidupnya dengan Fahri. Sebagai wanita yang memahami agama, walaupun sakit dimadukan, Aisya pasrah dengan keputusan suaminya.

Ombak Rindu memaparkan kisah Izzah (isteri pertama) yang berkahwin dengan Hafiz secara paksaan. Apabila Hafiz terpaksa berkahwin dengan Maya atas desakan keluarga, Izzah pasrah tetapi Maya (isteri kedua Hafiz) tidak sanggup menerima hakikat dimadukan. Akhirnya, Maya minta diceraikan.
Keluarga bahagia Ashraf Muslim.

Isu poligami merupakan isu yang sensitif di kalangan kebanyakan masyarakat. Walaupun poligami adalah satu bentuk perkahwinan yang dibenarkan dalam Islam, poligami acap kali dilihat sebagai sesuatu yang menyakitkan hati; menyebabkan rasa sedih. Meskipun terdapat isteri yang kelihatan gembira walaupun hidup berpoligami (seperti isteri Ashraf Muslim), kebanyakan masyarakat tetap meletakkan poligami sebagai sesuatu yang sukar untuk diterima. Perasaan ini telah diterjemahkan oleh novelis-novelis di dalam novel mereka. 


Dalam karya di atas, penulis-penulis wanita (Nazihatul Hanan dan Fauziah Ashari) memilih untuk meletakkan perceraian sebagai jalan akhir sebuah perkahwinan. Habiburrahman El Shirazy pula mengekalkan poligami dalam perkahwinan yang dicipta. Persoalannya, adakah karya-karya penulis ini mewakili hati pengkarya yang menghasilkannya?

Apa yang dapat saya katakan. Dalam novel mutakhir ini, terdapat cerita yang secara langsung dan tidak langsung mencerminkan nilai budaya bangsanya - Kisah keluarga, masyarakat, nilai-nilai hidup, pancaroba kehidupan dan sebagainya. Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat juga plot yang langsung tidak mencerminkan nilai budaya tetapi dihasilkan kerana mendapat permintaan daripada pembaca - Misalannya cerita 'ala-ala cerita Korea' yang semakin menjadi kegilaan kebanyakan remaja. Cerita yang diminati boleh jadi (boleh jadi salah) bukanlah cerita realiti tetapi cerita imaginasi yang menghiburkan.

Teks dan Makna dalam Drama Melayu Moden – Solehah Ishak

Hari ini, saya ingin berbicara tentang teks dan makna dalam drama Melayu moden – 'Apa yang ingin disampaikan oleh dramatis di sebalik teks yang dihasilkan?'

Sebagai mukadimah, ada baiknya untuk kita fahami – “Apa itu teks?”

Drama pentas.
Teks adalah satu bentuk ekspresi rasa (perasaan). Dengan kata lain, pengkarya meluahkan segala macam rasa dan makna menerusi teks yang dicipta. Selain itu, kita juga dapat mengenali pengkarya melalui teks yang dihasilkan. ‘Kenal’ di sini membawa maksud mengenali corak pemikiran pengkarya, persekitaran yang mempengaruhi pengkarya sehingga terhasilnya karya dan sebagainya.

Ada orang sukakan teks dengan mesej yang terang – mudah difahami; jelas; serta tiada maksud tersirat. Apa yang ditulis, itulah yang diterjemahkan khalayak. Bentuk teks sebegini dikenal juga dengan nama deklaratif. Teks ini mengemukakan resolusi atau deklarasi sikap pengarang terhadap penyelesaian satu situasi pertentangan dalam kehidupan masyarakat.

Ada orang sukakan teks dengan mesej yang kabur – berkias; implisit serta mempunyai maksud tersirat. Teks sebegini dilihat mencabar minda. Apa yang ditulis, perlu ditafsirkan maksud yang tersembunyi. Persoalan demi persoalan ditimbulkan menambahkan tenaga dalam teks. Khalayak membuat kesimpulan berdasarkan pemahaman  sendiri. Bentuk teks ini dinamai sebagai imperatif.

Bentuk teks interogatif dilihat lebih mencabar pemikiran. Teks dipersembahkan dalam bentuk cerita yang berlapis-lapis – drama dalam drama; mimpi dalam mimpi; realiti dalam ilusi dan sebagainya. Teks bentuk sebegini dilihat sebagai satu teks serius dan berat, bukan mudah untuk memahami maksud yang ingin disampaikan pengkarya. Namun, teks ini mendidik budaya berfikir di kalangan masyarakat.


Bagi saya...

Dalam pementasan teks drama, teks bukanlah satu-satunya faktor penentu kejayaan sesebuah karya. Teks yang baik perlu disusuli dengan pementasan yang baik. Untuk menghasilkan pementasan yang baik, perlu ada perancangan yang teliti. Perancangan tanpa kerjasama semua krew yang terlibat pun tidak mendatangkan apa-apa makna. Prop, pencahayaan, sistem bunyi, pentas turut berfungsi untuk menghidupkan cerita di sekaligus menjentik emosi khalayak. Hubungan antara dramatis, pengarah dan pelakon juga perlu dijalin baik agar apa yang hendak disampaikan dramatis benar-benar difahami oleh pengarah dan pelakon. Maka, dapatlah dikatakan bahawa semua pihak memainkan peranan dalam menghasilkan keputusan akhir yang terbaik.  

Wednesday, November 12, 2014

Komentar: I Don't need sex because the goverment fucks me everyday



Gambar di atas memperlihatkan seorang lelaki sedang memegang sepanduk yang tertulis 'I don't need sex because the government fucks me everyday' sambil tersenyum. 

Sekali pandang, saya melihat situasi seperti yang ditunjukkan di dalam gambar sebagai satu keadaan protes ataupun demonstrasi. Terdapat sesuatu yang telah membuatkan mereka berasa tidak puas hati sehingga memilih untuk berkumpul dan menyatakan rasa hati (melalui sepanduk yang dikemukakan). Antara alasan yang boleh ditanggapi daripada ungkapan yang tertulis pada sepanduk di atas ialah sebagai satu:

  • Sindiran kepada pihak kerajaan yang dilihat telah menganiaya/ menzalimi rakyatnya. 
  • Ekspresi perasaan (lebih kepada negatif) rakyat terhadap  sesuatu tindakan/ polisi dan sebagainya yang diambil oleh pihak kerajaan.
  • Bentuk bantahan sinis terhadap kerajaan.
  • Mengkritik sistem pentadbiran kerajaan yang dilihat menyusahkan rakyatnya. 
Dari satu sudut pandangan, slogan pada sepanduk di atas adalah satu ungkapan yang rutin (biasa) bagi masyarakat Barat. Ia merupakan satu ekspresi perasaan meluahkan ketidaksetujuan terhadap sesuatu perkara.

Namun...

Jika dilihat dari sisi pandangan masyarakat Melayu yang sememangnya kaya dengan adab sopan dan budaya ketimuran, penggunaan ungkapan 'I don't need sex because the government fucks me everyday' adalah sesuatu yang agak sensitif dan kasar - tidak kena pada tempatnya. Meskipun motif slogan sepanduk tersebut jelas (bantahan kepada pihak kerajaan), perkataan seks dilihat tidak sesuai digunakan dalam mengekspresi rasa hati. Seks bagi kebanyakan masyarakat Melayu adalah sesuatu yang masih tertutup - tidak dibicarakan sewenang-wenangnya di tempat awam tanpa alasan atau keperluan yang jelas. Begitu juga dengan penggunaan perkataan 'fucks'. Perkataan ini dilihat keras dan tidak senonoh. Fucks juga difahami sebagai satu 'carutan'. Mereka yang sewenang-wenangnya menggunakan perkataan ini boleh dianggap sebagai tidak beradab (melainkan mereka yang sudah biasa dengan budaya dan  bahasa di Barat). 

Lain tempat, lain cara, lain budaya, lain pemahaman, lain pemikiran. 

Maka di sini, dapatlah dikatakan bahawa tidak boleh disamakan budaya kita di Timur dengan cara hidup mereka di Barat. Hiduplah dengan jati diri sendiri tetapi tidak sekali-kali menolak inovasi.