Saturday, November 15, 2014

Opening Address The Worldview of Islam an Outline – Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam artikelnya menyebut bahawa ‘worldview’ atau pandangan hidup Islam bukanlah berasaskan faktor fizikal atau pancaindera dan rasional akal manusia terhadap pandangan alam. Akan tetapi, pandangan hidup Islam adalah lebih luas merangkumi aspek dunia dan akhirat. Sebagai hamba Allah, kita bukan sahaja mahu mencapai kebahagiaan di dunia, malahan kita turut mahu bahagia sampai akhirat nanti.

Menyentuh tentang dunia dan akhirat...

Dalam Islam, kehidupan di dunia hanyalah bersifat sementara. Ia menjadi tempat persinggahan manusia sebelum menuju ke alam yang kekal abadi – akhirat. Dengan kata lain, dapatlah dikatakan bahawa fokus Islam dalam kehidupan adalah bermatlamatkan kehidupan akhirat. Manusia tidak hanya mengejar kehidupan dunia tetapi menjadikannya sebagai persediaan untuk mencapai kebahagiaan di akhirat. Persediaan  berupa amal kebaikan itu dilakukan demi mendapat keredaan Allah SWT.

Akidah adalah tunjung agama Islam. Ia berteraskan keyakinan kepada Allah yang satu – Maha ESA (konsep Tauhid).
  • Allah wujud di mana-mana walaupun tidak dapat dilihat;
  • Allah berdiri sendiri (tidak bersandar akan sesuatu);
  • Allah tidak beranak dan diperanakkan;
  • Allah bersifat mutlak dan kekal abadi;
  • Allah Maha Segalanya (Maha Berkuasa, Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Mendengar dll).

Asas kepercayaan inilah yang membezakan Islam dengan kepercayaan lainnya. Selain itu, keyakinan terhadap Allah turut dapat mendekatkan manusia dengan Pencipta. Dekatnya manusia dengan Khalik membawanya mencapai kebahagiaan di negeri abadi.

Islam adalah agama yang sempurna. Kesempurnaan Islam merangkumi segala aspek dalam kehidupan. Ajaran dalam agama Islam sesuai diamalkan oleh semua orang, untuk sebarang keperluan, pada bila-bila masa serta di mana-mana sahaja. Islam bukanlah satu bentuk budaya tetapi merupakan agama Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Al-Quran. Ajaran dan pengajaran di dalam Al-Quran ini kemudiannya disampaikan kepada seluruh umat manusia bagi membolehkan mereka mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Maka, dapatlah dilihat di sini bahawa pandangan hidup Islam adalah bertunjangkan kepada kehidupan akhirat. Manusia diciptakan Allah sebagai khalifah di muka bumi bukan untuk mengejar dunia semata-mata tetapi dunia yang dikejar membolehkan mereka mencapai kebahagiaan  di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment