Friday, November 14, 2014

Novel-novel Melayu Mutakhir:Analisis Cerminan Nilai Budaya Bangsa – Ramli Isin

Ramli Isin dalam artikelnya meneliti sejauh mana novel mencerminkan nilai budaya bangsa khususnya bangsa Malaysia melalui citra sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik yang berhubungan dengan kenyataan, permasalahan, pandangan, sikap, kepercayaan, pemikiran dan sebagainya.

Ulang persoalan – ‘Sejauh mana sesebuah novel mencerminkan nilai budaya bangsa?’


Saya mengambil contoh novel yang membawa tema poligami iaitu:

1. Air Mata Siti Hajar - Nazihatul Hanan
2. Ayat-ayat Cinta - Habiburrahman El Shirazy
3. Ombak Rindu - Fauziah Ashari

Air Mata Siti Hajar memaparkan kisah Siti Hajar (isteri pertama) yang tidak bersedia dan tidak sanggup menerima kehadiran wanita dalam hati suaminya. Sepanjang perkahwinan dengan Ibrahim, banyak dugaan yang berjaya dilalui namun kehadiran Sarah (kekasih pertama Ibrahim) membuatkan Siti Hajar tersungkur. Akhirnya, Siti Hajar minta diceraikan.

Ayat-ayat Cinta memaparkan kisah Aisya (isteri pertama) yang sanggup menerima kehadiran Maria dalam hidupnya dengan Fahri. Sebagai wanita yang memahami agama, walaupun sakit dimadukan, Aisya pasrah dengan keputusan suaminya.

Ombak Rindu memaparkan kisah Izzah (isteri pertama) yang berkahwin dengan Hafiz secara paksaan. Apabila Hafiz terpaksa berkahwin dengan Maya atas desakan keluarga, Izzah pasrah tetapi Maya (isteri kedua Hafiz) tidak sanggup menerima hakikat dimadukan. Akhirnya, Maya minta diceraikan.
Keluarga bahagia Ashraf Muslim.

Isu poligami merupakan isu yang sensitif di kalangan kebanyakan masyarakat. Walaupun poligami adalah satu bentuk perkahwinan yang dibenarkan dalam Islam, poligami acap kali dilihat sebagai sesuatu yang menyakitkan hati; menyebabkan rasa sedih. Meskipun terdapat isteri yang kelihatan gembira walaupun hidup berpoligami (seperti isteri Ashraf Muslim), kebanyakan masyarakat tetap meletakkan poligami sebagai sesuatu yang sukar untuk diterima. Perasaan ini telah diterjemahkan oleh novelis-novelis di dalam novel mereka. 


Dalam karya di atas, penulis-penulis wanita (Nazihatul Hanan dan Fauziah Ashari) memilih untuk meletakkan perceraian sebagai jalan akhir sebuah perkahwinan. Habiburrahman El Shirazy pula mengekalkan poligami dalam perkahwinan yang dicipta. Persoalannya, adakah karya-karya penulis ini mewakili hati pengkarya yang menghasilkannya?

Apa yang dapat saya katakan. Dalam novel mutakhir ini, terdapat cerita yang secara langsung dan tidak langsung mencerminkan nilai budaya bangsanya - Kisah keluarga, masyarakat, nilai-nilai hidup, pancaroba kehidupan dan sebagainya. Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat juga plot yang langsung tidak mencerminkan nilai budaya tetapi dihasilkan kerana mendapat permintaan daripada pembaca - Misalannya cerita 'ala-ala cerita Korea' yang semakin menjadi kegilaan kebanyakan remaja. Cerita yang diminati boleh jadi (boleh jadi salah) bukanlah cerita realiti tetapi cerita imaginasi yang menghiburkan.

No comments:

Post a Comment