Tuesday, November 4, 2014

'I Want to Touch a Dog' (Satu Isu)

Penganjur kempen, Syed Azmi Alhabshi.
Tanggal 19 Oktober 2014, rakyat Malaysia dikejutkan dengan penganjuran kempen 'I Want to Touch a Dog' yang bertempat di Central Park One Utama, Petaling Jaya. Kempen yang berlangsung selama dua jam dan dihadiri oleh ratusan hadirin ini dikatakan bertujuan membantu orang ramai, khususnya daripada kalangan Muslim untuk mengatasi perspektif negatif mereka terhadap anjing. Menurut penganjur kempen 'I Want to Touch a Dog', Syed Azmi Alhabshi, objektif utama penganjuran kempen ini ialah bagi mengatasi rasa takut manusia ke atas anjing, untuk lebih memahami anjing serta mempraktikkan sertu. Kempen ini menurut Syed Azmi lagi bukan bertujuan untuk menggalakkan pengambilan anjing (dog adoption).

Kempen ini seterusnya telah mencetuskan kontroversi di samping menjadi perdebatan di media-media sosial. Terdapat banyak komentar yang menyalahkan penganjuran kempen tersebut, tetapi tidak kurang juga yang mempertahankan tindakan pihak penganjur. Pihak berwajib, ahli politik, ahli agama, bahkan orang awam tidak ketinggalan mengemukakan pandangan masing-masing terhadap kempen yang dilihat tidak peka terhadap sensitiviti penganut agama Islam di negara ini. 

Ekoran daripada kecaman hebat yang diterima, akhirnya pihak penganjur mengadakan sidang media di Seri Selangor Gold Club, Sri Damansara pada 25 Oktober 2014. Dalam sidang media tersebut, pihak penganjur telah memohon maaf sekaligus mengakui kelemahan penganjuran kempen yang diadakan. Dalam pada itu, Syed Azmi turut menegaskan bahawa kempen yang berlangsung bukanlah atas niat menyimpang iman atau mengejek para ulama, jauh sekali untuk mempromosikan liberalisme. Akan tetapi, kempen tersebut merupakan satu program yang cenderung kepada program berbentuk pendidikan.

Kempen 'I Want to Touch a Dog' memaparkan kepelbagaian 'hukuman' yang dijatuhkan kepada  pihak penganjur. Rata-rata membantah kempen yang dilihat tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam. Pendapat para ilmuan dan pihak berwajib berkenaan anjing dan isu 'I Want to Touch a Dog' terus menjadi perbahasan di media-media sosial: 

Pendapat Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, Presiden Murshid.
Pendapat Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Bekas Mufti Perlis.
Pendapat Ustaz Kazim Elias, Pendakwah Bebas.
Pendapat Kapten Hafiz Firdaus Abdullah, Pendakwah Bebas.
Pandangan rasmi Brunei terhadap isu 'I Want to Touch a Dog' dan banyak lagi.


Pengunjung diajar cara sertu.
Melihat dari sudut pandangan yang negatif, pihak penganjur didakwa sengaja mengadakan sesuatu yang boleh menjejaskan akidah umat Islam. Selain itu, penganjuran kempen 'I Want to Touch a Dog' turut dikatakan sebagai mempunyai agenda liberal yang dikhuatiri boleh membawa kerosakan kepada umat Islam. Manfaat program dipersoalkan. Dalam pada rakyat Malaysia berhadapan dengan pelbagai isu moral dan sahsiah diri, sebenarnya masih banyak program yang boleh dianjurkan demi pembaikan masyarakat. 

Dari satu sisi pandangan, kempen 'I Want to Touch a Dog' dikatakan sengaja diperbesarkan bagi mengalih pandangan rakyat terhadap isu lain yang lebih besar iaitu 'Pesta Minum Arak Oktoberfest' dan peperangan yang membabitkan Kumpulan Militan Negara Islam (IS) selain memecahkan umat Islam di negara ini. 

Dalam isu 'I Want to Touch a Dog' ini, saya memilih untuk tidak menyalahkan 100 peratus pihak penganjur kempen dan tidak juga menyokong program yang diadakan. Apa yang pasti, kempen ini telah membuka mata seluruh umat Islam tentang sensitiviti umat yang sebenarnya semakin dilupakan. 

No comments:

Post a Comment