Sunday, November 2, 2014

Pandangan Islam Terhadap Tradisi dan Kemodenan (Ringkasan Makalah)

Prof. Madya Dr. Khalif Muammar
Artikel berjudul Pandangan Islam Terhadap Tradisi dan Kemodenan (Islamic View of Heritage and Modernity) ini telah ditulis oleh Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris, pensyarah merangkap penyelaras Hal Ehwal Akademik di Pusat Pengajian Lanjutan Islam, Sains dan Tamadun (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia. Artikel dari muka surat 23-48 ini telah diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Institut Islam Hadhari UKM di dalam Jurnal Hadhari pada tahun 2012.

Sebelum saya membuat ulasan berdasarkan kefahaman saya tentang artikel ini, perlulah dimaklumi bahawa makalah ini dikarang oleh Prof. Madya Dr. Khalif Muammar bertujuan untuk:
  1. Menjelaskan nilai dan tempat yang wajar bagi tradisi dan turath. Ketidakjelasan tentang perkara ini telah mengakibatkan berlakunya banyak kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat Islam.
  2. Mengkritik pendekatan liberal dalam berhadapan dengan turath yang membawa kepada keruntuhan autoriti keagamaan (religious authority).
  3. Membahaskan sikap yang sewajarnya ada pada umat Islam dalam menghadapi autoriti.
  4. Mengkritik pendekatan golongan modenis-sekular yang cenderung meniru dan menerima secara priori modeniti Barat.
  5. Memberi perspektif yang jelas terhadap modeniti Barat serta konsep pembangunan dan kemajuan berdasarkan kepada alam (worldview) Islam.
Pandangan Umum Tentang Tradisi

Modenis dan pascamodenis -  Beranggapan bahawa tradisi merupakan satu BEBAN yang harus dilupakan untuk maju ke hadapan.

Tradisionalis - Menganggap bahawa segala yang diperturunkan TIDAK BOLEH DIGANGGU-GUGAT dan harus diterima sebagaimana adanya tanpa sebarang perubahan.

Lain-lain pendapat - Mengambil JALAN TENGAH dengan menerima apa-apa yang benar dan baik serta menolak apa-apa yang salah dan buruk.

Definisi Tradisi dan Turath



Barat - Melihat tradisi sebagai tidak relevan untuk dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan kontemporari. Tradisi:
  • Berasal daripada perkataan Latin, traditio yang bermaksud menyerahkan (surrender, delivery).
  • Merupakan segala pandangan, doktrin, amalan, pengibadatan, adat kebiasaan yang diwariskan dari satu generasi ke generasi lain.  
  • Ajaran yang tidak tertulis daripada para Nabi dan pembesar agama. 
  • Menjurus kepada cerita dongeng dan mitos yang disampaikan dari satu generasi ke satu generasi secara lisan.
(Di samping itu, Barat turut melihat tradisi sebagai satu rakaman memori, bukan sebagai panduan dan bimbingan)



Islam - Melihat turath sebagai satu panduan bagi umat Islam untuk memahami dan melaksanakan ajaran agama Islam dalam menjalani kehidupan yang baik. Turath: 
  • Merupakan warisan (legacy, heritage) generasi al-salaf al-salih dan para ulama muktabar sepanjang zaman.
  • Kumpulan karya ulama silam.
  • Dalam bentuk manuskrip.
  • Merakam pemahaman dan pentafsiran terhadap al-Quran dan as-Sunnah.
  • Membentuk pemikiran keagamaan Islam yang klasik.
  • Merujuk kepada kerangka pemikiran Islam (bukan kerangka pemikiran Barat yang sekular).
  • Rakaman tentang pemahaman dan pelaksanaan Islam sejak generasi awal Islam.
(Ilmu daripada ilmuan berautoriti sangat penting agar pemahaman yang betul terhadap Islam dapat dipertahankan dan kebahagiaan sejati serta pembangunan sebenar dapat dicapai oleh manusia)
Tradisi dan Autoriti

Turath dari sisi pandangan umat Islam:
  • Penghargaan terhadap turath masih rendah.
  • Golongan modenis dan literalis/ konservatif melihat turath sebagai satu beban sejarah.
  • Para sarjana (Arkoun, Hassan, Adonis dan Fazlur) cenderung meletakkan kesalahan kejumudan pemikiran umat Islam hari ini ke atas karya-karya ulama Islam.
  • Golongan-golongan ini memberi penekanan kepada fiqh/ hukum-hakam dan cenderung meminggirkan tasawuf dan metafizik. Kesannya mengakibatkan peminggiran karya-karya besar dalam peradaban Islam.
Kewajaran umat Islam menghargai tradisi bertitik tolak:
  • Islam datang sebagai pencerahan dan membawa obor ilmu pengetahuan.
  • Ilmu ini dibawa oleh autoriti yang membentuk mata rantai yang tidak terputus sejak zaman Rasulullah.  Putusnya mata rantai ini akan menyebabkan kekaburan dan kekeliruan dalam Islam. 
  • Islam menuntut umatnya berlaku adil terhadap diri sendiri dan orang lain. Maka, perlakuan adil itu perlu juga berlaku ke atas para ulama yang muktabar.
  • Melalui tradisi, seorang Muslim dapat memahami Islam yang sebenar.

Syed Muhammad Naquib Al Attas
Syed Muhammad Naquib Al Attas (2007) menegaskan, "Tidak berlaku dalam Islam babak-babak sejarah yang menandakan zaman baharu dalam kehidupan seperti yang disifatkan sebagai 'klasik'; kemudian 'pertengahan'; kemudian 'moden' yang kini sedang menganjak ke arah 'pasca-moden'."

Melalui pernyataan di atas, dapatlah diketahui bahawa tidak berlaku peringkat kegelapan kepada kebangkitan (renaissaince) dan pencerahan (enlightment) kepada kemodenan dalam sejarah Islam. Maka, tidak wujud konsep baharu yang lebih baik daripada yang lama atau yang baharu mesti menggantikan yang lama. Maka, dapatlah ditegaskan bahawa:

  • Islam tidak mengenal dualisme antara tradisi dan modeniti.
  • Turath tidak melambangkan kekolotan, cerita lama dan mitos yang perlu diganti dengan kemodenan, cara baharu dan saintisme. 
  • Kedatangan Islam menandakan permulaan era baharu, era pencerahan dan era pembangunan insan. Misi tahriri-tanwiri-islahi telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul sekiranya berlaku penyimpangan, penindasan dan kejahilan.
Syed Muhammad Naquib Al Attas (1969) menegaskan lagi, "Kedatangan Islam telah mengubah (revolutionized) pandangan alam orang Melayu dan menggantikannya dengan pandangan alam Islam (Islamisasi). "

Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa:
  • Titik pencerahan dan perubahan berlaku dengan kedatangan Islam, bukan dengan perubahan zaman seperti yang berlaku di Eropah.
  • Tamadun Islam mengalami jatuh bangun dan bukan evolusi seperti yang berlaku di Barat. Gangguan terhadap proses Islamisasi di alam Melayu berlaku dengan kehadiran penjajah di Kepulauan Melayu-Indonesia. Penjajah ini berusaha mencabut umat Islam dari akar peradabannya.
  • Peradaban Islam berada di puncak apabila para ilmuan Muslim berjaya menghasilkan karya-karya besar yang menjadi rujukan ilmuan yang seterusnya. 
  • Kejatuhan peradaban Islam berlaku apabila para ilmuan tidak lagi menghasilkan karya-karya besar. 
Pelecehan Terhadap Tradisi dan Autoriti

Kritikan gerakan Salafiyyah Movement terhadap tradisi atau turath:

  • Menjadikan karya-karya ulama terdahulu tidak lebih dari sekadar pandangan. Golongan ini menggunakan kata-kata Imam Malik, **'... bahawa setiap pandangan itu boleh diterima dan ditolak serta tidak ada ulama yang maksum'.
  • Golongan Pseudo-Salafi (ghulat al-Salafiyyah)  mendakwa bahawa umat Islam tidak perlu mengikuti ulama tetapi cukup mengikuti apa yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Dari satu sisi pandangan, ungkapan Imam Malik ** adalah berkisar kepada penolakan Islam terhadap taklik dan bukannya penyamarataan ulama dengan golongan biasa:
  • Imam Malik tidak mahu umat Islam mendewakan ulama, dan bukannya menolak pandangan mereka. 
  • Menolak tunjuk ajar dan bimbingan ulama adalah satu penghinaan. 
  • Menganggap idea ulama sebagai satu pandangan semata-mata dilihat seperti merendahkan mereka. 
  • Pandangan orang berilmu (ulama) adalah tidak sama dengan pandangan orang awam. 
Mata rantai ilmu sejak dari zaman awal kedatangan Islam.
Menolak dakwaan golongan Pseudo-Salafi yang menyatakan bahawa, 'umat Islam tidak perlu mengikuti ulama tetapi cukup mengikuti apa yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah': 
  • Tafsiran diperlukan untuk memahami al-Quran.
  • Perlu dipastikan bahawa pemahaman ayat al-Quran yang ditafsirkan adalah benar, tidak keliru atau salah.
  • Kelahiran 'kaedah baharu' dalam memahami sesuatu nas dikhuatiri akan menimbulkan kekacauan epistemologi.
  • Ayat tertentu yang difahami secara literal tanpa melihat kepada maksud tersirat dan maqasid akan menyebabkan berlakunya pemahaman yang kering makna, jumud dan tidak menjawab tuntutan semasa.
Buku Abou el-Fadh (2003)
Penolakan golongan liberal terhadap autoriti:
  • Abou el-Fadh (2003) dalam bukunya Speaking in God's Name: Islamic Law, Authority and Women - Tidak ada seorang pun yang dapat mendakwa bahawa dia dapat mengetahui dengan pasti maksud sesuatu ayat. Maka, tidak ada yang mengetahui maksud sesuatu ayat yang sebenar melainkan Allah SWT sendiri.
  • Pandangan ini bertitik tolak daripada satu premis bahawa ilmu manusia sebenarnya ** relatif, hanya ilmu Allah yang mutlak. 
  • Pemisahan mutlak dilakukan antara ilmu wahyu dengan ilmu manusia, sebagaimana pemisahan dilakukan terhadap wahyu dan akal, agama dan sains serta Tuhan dan manusia.  
Tangkisan terhadap golongan liberal yang memisahkan antara ilmu Tuhan dengan ilmu manusia:
  • Wahyu adalah penghubung bagi manusia dengan Tuhan.
  • Ilmu manusia dipastikan (disahkan) melalui wahyu. 
Menangkis pandangan Abou el-Fadl yang menyatakan bahawa ilmu manusia bersifat ** relatif, Prof. Wan Mohd Nor menegaskan:
  • Ilmu manusia jika dibandingkan dengan ilmu Allah sememangnya relatif. Akan tetapi, apabila dilihat daripada perspektif dan kegunaan manusia, maka ilmu manusia adalah mutlak (absolute).
  • Dengan kata lain, ilmu manusia disifatkan sebagai relatif mutlak (relatively absolute). Manakala ilmu Allah bersifat mutlak semutlaknya (absolutely absolute).
Islam dan Modeniti

Modeniti:
  • Berasal daripada perkataan latin, modernus yang bermaksud pada masa ini.
  • Merupakan satu fasa sejarah Barat yang sedang melalui pasca-tradisi, pasca zaman pertengahan. 
  • Dicirikan dengan industrialisme, kapatalisme, sekularisme dan negara bangsa.
  • Mengandungi nilai-nilai Barat. 
  • Dikenali sebagai the age of reason (zaman akal). Hegel menyebut bahawa zaman agama yang bertahan ialah zaman agama akal. 
  • Lahir di Barat setelah falsafah Barat berjaya meminggirkan agama dan tradisi daripada menguasai masyarakat. 
  • Membangunkan worldview baharu dan menolak metafizik. 
  • Delanty (2007) menyatakan bahawa modeniti adalah bercirikan ketiadaan sesuatu yang pasti. 
  • Alat dominasi tamadun Barat. 
  • Mengagungkan sains dan teknologi. Kemajuan di Barat menekankan sains dan teknologi serta kemajuan material. Namun, penekanan terhadap sains dan teknologi ini mengakibatkan berlakunya krisis kemanusiaan (Vattimo, 1998), yang membawa kepada dehumanisasi (Heidegger dan Husserl).
Kelemahan pembangunan sekular:
  • Terlalu menumpukan kepada hardware (infrastruktur dan hal yang berbentuk fizikal) yang bersifat tangible (ketara) dan kurang kepada software (moral, pendidikan, pemikiran, nilai-nilai murni) dan bersifat intangible (tidak ketara) dalam pembangunan (al-Attas, 1999).
  • Penumpuan terhadap hardware membawa kepada kerosakan moral, rasuah, jenayah dan sebagainya. 
Kepentingan mengejar ilmu dalam mencapai kemajuan.
Pembangunan menurut perspektif Islam:
  • Pembangunan  yang menyeluruh. 
  • Agama memainkan peranan yang dominan dalam segala aspek pembangunan. 
  • Kemajuan dan pembangunan yang sebenar memberi kesan yang baik kepada manusia, kesejahteraan dan kebahagiaan serta tidak merendahkan manusia dengan menjadikannya sebagai alat bagi industri dan negara. 
  • Penumpuan pembangunan diberikan ke atas individu dan institusi pendidikan, berbanding terhadap industri dan negara. 
  • Kemajuan material tidak dapat dijadikan ukuran kemajuan dan pembangunan. Kemajuan yang tidak disertai dengan kemajuan yang menyeluruh (merangkumi aspek mental, emosional, moraliti dan spiritual) akan menyebabkan manusia semakin menderita.
  • Tanpa menafikan keperluan pembangunan material, pertumbuhan ekonomi, kemajuan sains dan teknologi, pembangunan menurut Islam turut melihat kepada aspek-aspek lainnya.
Sains dan teknologi: 
  • Wan Mohd Nor (2009) menyatakan bahawa sains dan teknologi bukanlah ukuran sebuah kemajuan. 
  • Tanpa menafikan keperluan sains dan teknologi dalam kemajuan, penguasaannya tidak perlu menjadi agenda paling utama. 
  • Barat meletakkan sains sebagai nilai hidup yang utama, berperanan mengatur bidang keilmuan yang lain. 
  • Al-Attas (2001) menyebut bahawa sains hanyalah alat bagi kegunaan manusia dan tidak boleh dijadikan nilai dalam kehidupan. Justeru, keutamaan harus diberikan kepada pendidikan dan pembangunan manusia, bukan kepada pendewaan terhadap rasionalisme, empirisisme dan saintisme melalui penekanan terhadap sains dan teknologi. 
Kemajuan dan pembangunan yang sebenar:
  • Ibn Khaldun menggariskan kepentingan aspek budaya berfikir.
  • Bennabi menegaskan kepentingan kekuatan roh dan akal. 
  • Wan Mohd Nor (1997) menyatakan bahawa tiada tamadun tanpa budaya ilmu. 
  • Dengan kata lain, sains dan teknologi bukanlah satu keutamaan kepada kemajuan tetapi merupakan satu pelengkap yang datang kemudian. 
  • Kemajuan dan pembangunan dibina atas keupayaan dan kemampuan. 
Penutup

Tradisi atau turath hakikatnya tidak sekali-kali menghambat kemajuan, bahkan tradisilah yang menjadi faktor dan wahana pentamadunan. 

No comments:

Post a Comment