Monday, November 3, 2014

Pandangan Islam Terhadap Tradisi dan Kemodenan (Satu Ulasan)

Secara ringkas, dapatlah dinyatakan bahawa makalah tulisan Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris ini telah membicarakan persoalan tradisi yang sering dikaitkan dengan turath, pandangan Islam terhadap turath, peranan autoriti yang dipinggirkan serta modeniti yang acap kali dianggap sebagai kemajuan dan pembangunan. 


Kata kunci dalam makalah Pandangan Islam Terhadap Tradisi dan Kemodenan.
Meskipun jelas mempunyai perbezaan yang ketara, tradisi tetap sering dikaitkan dengan turath. Walhal, perkataan tradisi itu sendiri memberi konotasi yang negatif.

Tradisi yang membawa makna segala pandangan, doktrin, amalan, pengibadatan, adat kebiasaan yang diwariskan dari satu generasi ke generasi lain dilihat Barat sebagai tidak relevan untuk dijadikan panduan dalam kehidupan kontemporari. Dengan lain perkataan, Barat berpendapat bahawa tradisi lebih menjurus kepada hanya satu rakaman memori. 

Manakala, turath yang merupakan warisan generasi al-salaf al-salih serta para ulama muktabar dilihat sebagai satu panduan bagi umat Islam memahami dan melaksanakan ajaran agama Islam. Terhasil dalam bentuk kumpulan karya ulama silam, turath berperanan merakam pemahaman dan pentafsiran terhadap al-Quran dan as-Sunnah. Menjadikan kerangka pemikiran Islam sebagai rujukan utama, turath secara keseluruhannya membentuk pemikiran keagamaan yang klasik melalui khazanah ilmu yang diperoleh sejak generasi awal Islam. Dalam hal ini, ilmu yang diwarisi daripada ilmuan berautoriti adalah dititik beratkan agar pemahaman yang betul dapat dipertahankan.

Walaupun jelas fungsi yang dimainkan oleh turath terhadap umat Islam, penghargaan terhadapnya masih di tahap yang rendah. Malahan, golongan modenis dan literalis turut memandang turath sebagai satu beban sejarah. Penekanan terhadap fiqh dan hukum-hakam sehingga meminggirkan tasawuf dan metafizik pula secara tidak langsung mengakibatkan peminggiran karya-karya besar dalam peradaban Islam. Perkara ini sekaligus membawa kepada kejatuhan peradaban Islam. Sedangkan, peradaban Islam berada di puncak apabila para ilmuannya berjaya menghasilkan karya-karya besar. Tamadun Islam juga mengalami kejatuhan akibat gangguan terhadap proses Islamisasi di alam Melayu oleh penjajah di Kepulauan Melayu-Indonesia.

Islam datang sebagai pencerahan kepada umat manusia. Melalui ilmu pengetahuan, seorang Muslim dapat memahami Islam yang sebenar. Ilmu ini pula dibawa oleh autoriti yang membentuk mata rantai yang tidak terputus sejak zaman Rasulullah. Bermula daripada Khulafa’ Al-Rashidun, pedoman daripada Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ini diteruskan penyebarannya oleh  al-tabi’, tabi’ al-tabi’in, ulama mazhab dan imam-imam besar.  Di sinilah para autoriti memainkan peranan menjelaskan kekaburan dan kekeliruan dalam Islam. Namun, wujud pula pandangan bahawa terdapat kesamaan antara pandangan autoriti dengan orang awam. Mengambil hujah Imam Malik yang menolak kemaksuman ulama, golongan pseudo-salafi mendakwa bahawa umat Islam tidak perlu mengikuti ulama tetapi cukup mengikuti apa yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Persoalannya...

Samakah kefahaman seorang ulama dengan orang awam? Sejauh mana kesahihan tafsiran yang dibuat oleh orang awam terhadap ayat-ayat al-Quran? Jawapannya adalah TIDAK SAMA dan TIDAK DIPASTIKAN kesahihannya!

Modeniti adalah fasa sejarah Barat yang bercirikan industrialisme, kapatalisme, sekularisme dan negara bangsa. Modeniti yang terlalu memberi tumpuan kepada aspek material dan fizikal ini secara jelas mengenepikan aspek-aspek dalaman yang merangkumi moral, pendidikan, pemikiran dan nilai-nilai murni. Dalam hal ini, jelas memperlihatkan bahawa Barat meletakkan sains sebagai nilai hidup yang utama. Akan tetapi, pengagungan terhadap sains dan teknologi dalam modeniti secara tidak sedar mengakibatkan tradisi dipinggirkan. Setelah itu, memberi impak pula kepada pegangan agama yang akhirnya membawa kesan negatif terhadap masyarakat.

Sebaliknya, pembangunan dalam Islam adalah lebih menyeluruh. Agama dijadikan sandaran utama. Berbeza dengan modeniti, pembangunan menurut Islam tidak mengagungkan material dan fizikal semata-mata, khususnya sains dan teknologi. Pembangunan yang ditekankan ialah pembangunan dari segala aspek. Sedangkan, sains dan teknologi bukanlah kayu pengukur kepada sebuah kemajuan. Kemajuan yang sebenar ialah pembangunan yang dapat memberi kesan yang baik kepada manusia serta tidak menjadikannya sebagai alat kepada industri dan negara. Apa guna kemajuan seandainya manusia hidup dalam penderitaan. Meskipun tidak menafikan keperluan pembangunan material, pertumbuhan ekonomi, kemajuan sains dan teknologi, pembangunan menurut Islam lebih memberi tumpuan ke atas individu dan institusi pendidikan. Menerusi pendidikan, budaya berfikir dapat dilahirkan. Seterusnya memberi kekuatan kepada roh dan akal. Sains dan teknologi pula tidak dijadikan aspek utama kepada kemajuan tetapi sebagai pelengkap yang datang kemudian.  

Islam itu syumul. Ketetapan Allah adalah demi kebaikan manusia. Modeniti, walaupun memberi satu nafas baharu dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara tetap tidak dapat memenuhi keperluan fitrah manusia secara keseluruhannya. 

No comments:

Post a Comment