Friday, November 14, 2014

Teks dan Makna dalam Drama Melayu Moden – Solehah Ishak

Hari ini, saya ingin berbicara tentang teks dan makna dalam drama Melayu moden – 'Apa yang ingin disampaikan oleh dramatis di sebalik teks yang dihasilkan?'

Sebagai mukadimah, ada baiknya untuk kita fahami – “Apa itu teks?”

Drama pentas.
Teks adalah satu bentuk ekspresi rasa (perasaan). Dengan kata lain, pengkarya meluahkan segala macam rasa dan makna menerusi teks yang dicipta. Selain itu, kita juga dapat mengenali pengkarya melalui teks yang dihasilkan. ‘Kenal’ di sini membawa maksud mengenali corak pemikiran pengkarya, persekitaran yang mempengaruhi pengkarya sehingga terhasilnya karya dan sebagainya.

Ada orang sukakan teks dengan mesej yang terang – mudah difahami; jelas; serta tiada maksud tersirat. Apa yang ditulis, itulah yang diterjemahkan khalayak. Bentuk teks sebegini dikenal juga dengan nama deklaratif. Teks ini mengemukakan resolusi atau deklarasi sikap pengarang terhadap penyelesaian satu situasi pertentangan dalam kehidupan masyarakat.

Ada orang sukakan teks dengan mesej yang kabur – berkias; implisit serta mempunyai maksud tersirat. Teks sebegini dilihat mencabar minda. Apa yang ditulis, perlu ditafsirkan maksud yang tersembunyi. Persoalan demi persoalan ditimbulkan menambahkan tenaga dalam teks. Khalayak membuat kesimpulan berdasarkan pemahaman  sendiri. Bentuk teks ini dinamai sebagai imperatif.

Bentuk teks interogatif dilihat lebih mencabar pemikiran. Teks dipersembahkan dalam bentuk cerita yang berlapis-lapis – drama dalam drama; mimpi dalam mimpi; realiti dalam ilusi dan sebagainya. Teks bentuk sebegini dilihat sebagai satu teks serius dan berat, bukan mudah untuk memahami maksud yang ingin disampaikan pengkarya. Namun, teks ini mendidik budaya berfikir di kalangan masyarakat.


Bagi saya...

Dalam pementasan teks drama, teks bukanlah satu-satunya faktor penentu kejayaan sesebuah karya. Teks yang baik perlu disusuli dengan pementasan yang baik. Untuk menghasilkan pementasan yang baik, perlu ada perancangan yang teliti. Perancangan tanpa kerjasama semua krew yang terlibat pun tidak mendatangkan apa-apa makna. Prop, pencahayaan, sistem bunyi, pentas turut berfungsi untuk menghidupkan cerita di sekaligus menjentik emosi khalayak. Hubungan antara dramatis, pengarah dan pelakon juga perlu dijalin baik agar apa yang hendak disampaikan dramatis benar-benar difahami oleh pengarah dan pelakon. Maka, dapatlah dikatakan bahawa semua pihak memainkan peranan dalam menghasilkan keputusan akhir yang terbaik.  

No comments:

Post a Comment